Kita, yang bersama.


Assamualaikum.

Lama sudah kalam tidak berbicara, bukan malas yang menghantui, namun buah pemikiran yang banyak belum pasti dapat jadi satu kalimah yang bermanfaat. Tulusnya, senyap itu lebih berharga.



| Perjalanan masa.

Tika ini, 3 tahun sudah daku merantau. Alhamdulillah, perantauan ku di bumi putih ini memberi satu sudut hidup yang baru, satu kanta untuk melihat dunia dalam perspektif berbeza, melihat hidup sebagai satu medan, menoleh mati sebagai satu peringatan.


"Allah 'letak' manusia pada tempat yang terbaik untuk kenal Dia", Dr. Murabbi


Benar, Maha Adil Allah, dengan Maha Bijaksana nya, Dia meletakkan kita semua pada tempat yang terbaik. Dari tangga ke 'syurga' hatta dalam lubang 'neraka' dunia sekalipun, semua itu adalah tarbiyah. Tarbiyah untuk kita mencari Dia, tarbiyah untuk kita kenal kita, tarbiyah untuk kita kenal Pencipta kita. Siapa sangka, menjadi terasing di bumi soviet ini, menjadi landasan tarbiyah untuk aku. KetentuanNya.



|Tarbiyah tanpa henti

Dalam mengharungi hari-hari disini, onak dan duri nya, ada juga tatkala hati ini berat. Sibuk, tohmahan, 'kompleksi' inferior- terhasut ingin keluar dari gerabak. Namun syukur, kerana dalam terbiyah, aku tidak berseorangan. Sahabat-sahabat yang semakin hari semakin membara-bara semangat juang islamnya, buat aku 'cemburu', dan ingin turut serta.

Aku yang kelakar, ingin kejar orang hebat, namun diri masih merangkak. Tetapi aku tidak kejar manusia, aku cuma ingin se'saf' dengan mereka, berlari-lari kepada Illahi. Aku masih ingat akan perkongsian dari Murabbiku dari 61:5


"Dan (ingatlah peristiwa) ketika Nabi Musa berkata kepada kaumnya: " Wahai kaumku! Mengapa kamu menyakiti daku, sedang kamu mengetahui bahawa sesungguhnya aku ini Pesuruh Allah kepada kamu?" Maka ketika mereka menyeleweng (dari kebenaran yang mereka sedia mengetahuinya), Allah selewengkan hati mereka (dari mendapat hidayah petunjuk); dan sememangnya Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada kaum yang fasik - derhaka."

Aku tidak mahu menyeleweng dan diseleweng.



|Harapan

Kini, perpisahan berlaku lagi. Sejujurnya, aku baru sahaja merasai kemanisan bersama al-Kahfi, dan aku sedih untuk berpisah (begitu juga dengan Fitrah). Namun, aku redha. Untuk pastikan saf ini teratur, dan bergerak lebih dinamik, aku redha. Doa daku, untuk kita, al-Kahfi, terus tsabat dalam gerabak ini. Walau tidak bersama selepas ini, yang pasti, destinasi kita satu. Harap kalian jua begitu.



al-Kahfi, Fitrah, 

"Seseungguhnya, hati orang beriman itu terikat antara satu sama lain.
Semoga kita adalah mereka; selagi mana nadi berdenyut, jangan pernah berhenti dan cuti kerana kita tahu, kita hanya ada dua pilihan, menang atau mati syahid." - sahabatmu 



Musafir diri
Berlari-lari kesana kesini
Mencari sesuatu yang pasti
Mengisi jasad membasahi hati

Musafir ini
Menjejaki menyelusuri
Sang wali, si murabbi
Menuntut kitab Illahi
Mengkaji zat abadi

Musafir ini 
Melangkah detik
Fajar menyinsing, bintang berkelip
Mengukir amal 
Harap diterima nanti

Musafir kini
Membawa diri
Menoktahi kembara ini
Menghadap Illahi, pemilik hakiki.

ash.




p1

Antara aku dan mereka


Meniti usia, tidak sangka 20 tahun sudah aku mengembara dalam kehidupan dunia. Sekarang telah bergelar anak muda. Ya aku si pemuda."Ingin melihat nasib sesuatu negara, lihatlah pada generasi anak muda"

Merenung diri sendiri sahaja telah pun bimbang akan nasib masa depan negara dan agama ku. Lihat sahaja di dada akhbar, akan ada berita tentang keruntuhan pemuda-pemudi Islam. Yang berpeleseran malamnya, bahkan yang memenuhi pusat serenti adalah Muslim yang tiada muslimnya.

Bukan ingin mengaibkan namun melihat pekung yang ada. Aku pun merasakan begitu. Tatkala usia dah pun dewasa begini, namun aku sendiri tidak pasti Islamkah, atau islam nya hidup aku.Sejenak merentasi masa, melihat kembali di awal kebangkitan islam. Siapa sangka, tunjang kepada islam tatkala itu, adalah generasi muda. Merekalah segala-galanya dalam perjuangan. Mereka lah pembantu agama Allah swt.

Dikatakan, berusia 13 tahun ketika wafatnya Rasulullah saw, telah disandarkan kepada beliau penterjemah al-Quran. Itulah Abdullah ibn Abbas. Memiliki pemahaman akan islam yang begitu mendalam.

Tidak tercabar pula diriku akan keberanian seorang panglima perang, yang pertahankan agama melawan Rom yang dirinya pada masa itu baru sahaja berumur 17 tahun. Berani dan masih muda, Usamah ibn Zaid ibn Harithah.

Siapa sangka, ditugaskan Rasulullah saw ke Madinah untuk menyebarkan islam. Mus'ab ibn Umair, berusia 24 tahun, mendokong usaha dakwah bagi menyampaikan kebenaran. Tugas yang bukan calang-calang orang boleh bawa. 

Merekalah jiwa-jiwa yang hebat.

Mebandingkan mereka dengan diriku, tidak terkira perbedaannya. Ibarat langit dan bumi. Tatkala Abdullah ibn Abbas telah mahir dengan al-Quran, aku baru sahaja berjinak dengan alam sekolah menengah. Tatkala Usamah ibn Zaid ibn Harithah pergi berperang mempertahankan islam, aku sedang sibuk dengan urusan SPM, yang hanya berperang di atas kertas. Tidak sanggup untuk aku bandingkan dengan Mus'ab ibn Umair, yang sudah tentu murabbi yang berjaya. Aku pula, masih lagi bertatih dalam mencari dan mengenal islam.

Aku terfikir, apakah mereka berada pada zaman Rasulullah saw mereka menjadi seorang yang hebat?Tersentap aku, apabila mendengar kisah Muhammad Al-Fetih. Siapa dia? Dia bukanlah seseorang yang berada pada zaman Rasulullah saw. Dia juga bukanlah seseorang yang berada pada zaman para sahabat. Bahkan perbezaan jarak waktu dia dan zaman mereka amat lah jauh.

Namun, dia adalah sebaik-baik pemimpin yang memimpin sebaik-baik tentera.

Dia lah antara orang-orang yang berbahagia.

Sabda Rasulullah saw,"Berbahagialah siapa yang melihatku dan beriman dengan ku" Kemudian nabi sebut sebanyak tiga kali,"Bahagialah, bahagialah bahagialah, mereka yang tidak dapat melihatku namun beriman dengan ku"Hadis riwayat Ahmad.

Lihat lah Muhammad Al-Fetih,Siapa sangka dia adalah pemerintah yang muda. Mengambil alih pemerintahan tatkala umurnya 19 tahun. Dialah juga, usia baru mencapai 21 tahun, telah berjaya menawan bandar Kostantinopel (istanbul). Dia adalah seorang pemuda yang sejak akil baligh tidak meninggalkan solat tahajjud, solat sunat rawatib.

MasyaAllah. Hebat!! Mereka adalah pemuda yang sebenar.

Aku amati mereka, aku teliti pemuda islam yang hebat ini.

Mereka adalah pemuda yang mempunyai wawasan hasanah. Mereka lah yang bekerja keras untuk berjumpa dengan Allah. Mereka bekerja untuk mendapatkan kebaikan dunia yang memberi kebaikan akhirat.

وَمِنْهُم مَّن يَقُولُ رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ
Dan di antara mereka pula ada yang (berdoa dengan) berkata: "Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka".
2:201


Mereka meletakkan matlamat utama mereka adalah keredhaan Allah swt. Ekoran itu, perjuangan mereka dilandaskan atas fisabilillah. Sesungguhnya, mereka adalah sebenarnya golongan yang mendapat hikmah.

يُؤْتِي الْحِكْمَةَ مَن يَشَاءُ ۚ وَمَن يُؤْتَ الْحِكْمَةَ فَقَدْ أُوتِيَ خَيْرًا كَثِيرًا ۗ وَمَا يَذَّكَّرُ إِلَّا أُولُو الْأَلْبَابِ
Allah memberikan Hikmat kebijaksanaan (ilmu yang berguna) kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan yang ditentukanNya). Dan sesiapa yang diberikan hikmat itu maka sesungguhnya ia telah diberikan kebaikan yang banyak. Dan tiadalah yang dapat mengambil pengajaran (dan peringatan) melainkan orang-orang yang menggunakan akal fikirannya.
2:261

Apa itu hikmah?
Menurut Imam Malik, hikmah itu adalah sunnah. Mengiku Abdullah ibn Abbas, hikmah itu adalah al-Quran.

Aku melihat mereka berjihad, dengan jihad yang sebenar. Jihad bukan semata-mata untuk membunuh atau dibunuh. Bukanlah pula jihad yang semata-mata untuk mati syahid. Namun mereka berjihad kerana ingin menyampaikan kebenaran, mengajak kepada ma'ruf dan nahi mungkar.

Merekalah golongan yang memililh untuk bermula dengan islam, ditunjangi al-Quran dan didokong oleh as-sunnah.

Aku membisik pada diri," aku, bila lagi?"
 Ya Allah, hambaMu memohon untuk menjadi  pemudaMu. 

C.S

p1

Perspektif Justifikasi


Impression atau tanggapan seseorang adalah datang dari pandangan. Ada kalanya tanggapan itu tepat. Ada kala tanggapan itu jauh berbeza ibarat langit dan bumi. Hakikatnya, tanggapan adalah datang melalui perspektif kita berfikir samada satu hala atau pelbagai hala. Ia ibarat nasib, jika betul tanggapan kita, ia adalah nasib baik. Jika tidak, ia malang.

Oleh itu, sebagai manusia kita janganlah cepat bersangka buruk atau baik terhadap seseorang. Ini kerana apa yang mata anda nampak adalah luaran. Dalaman nya masih lagi jauh terlindung disebalik badan yang legap dimana tidak boleh ditembusi mata. Namun dalaman yang terlindung itu akan terlihat jikalau kita mengenalinya; betul-betul mengenalinya. Dimana kita mengenalinya dengan dua biji mata. Bukan dengan sebelah mata kanan, sedangkan mata kiri tertutup dan sebaliknya.


Itulah yang berlaku jika kita lihat sebelah mata. Tidak semestinya yang pandai bertaranum dan mengaji itu sempurna dan tidak membuat silap. Tidak mungkin jika dia itu sentiasa betul. Tidak semestinya tahu hukum agama dan tahu ilmu yang mendalam tentang agama membuatkan dia
setaraf dengan wali. Tidak semestinya berpakaian selekeh itu orang miskin. Tidak semestinya bercakap kasar menggambarkan dia bodoh.

Jadi janganlah cepat mentafsir manusia. Sedangkan nabi tidak menghukum manusia dengan mudahnya. Namun kenapa kita tidak mencontohinya. Kenapa kita dengan mudah menghukum mereka. Kenapa kita dengan senang menghina dan mencela.

Ini menunjukan bahawa kita manusia tidak sempurna. KIta memang sesempurna ciptaan kerana kurniaan akal. Namun adakah akal dimanfaatkan. Kita membuat silap tidak bererti kita jahat. Kita nakal tidak bererti kita dajal. Ini semua kerana kita membesar dan melalui pelbagai cara hidup untuk membaiki hidup kita dalam mengenal erti baik dan buruk. Jadi janganlah letak seseorang sabagai pesalah walau dia berada di tempat yang salah.



Mata adakalanya salah melihat,
Mulut adakalanya tersasur bicara, 
Lidah pula terkasar bahasa,
Telinga pula, adakalanya tersalah dengar,
Pendapat adakalanya tidak tepat,
Hati...
Justifikasinya tidak pasti..

Maka berbiaklah fitnah duniawi,
wanita dan fasikh,
Seperti yusof dan zulaikha,
seperti mariam
dan bayinya tak berbapa,
Seperti muhammad dan musyrikin,

Kerana fitnah,
Uthman dibunuh,
Runtuh empayar islam,
Jebat durhaka,
Nadim mati sia-sia,

Lalu gemakanlah Al-Falak,
Hakikat milik HAKIKI.

p1

Yang tergapai.

Berada disini, dalam usaha untuk mendapatkan ijazah kedoktoran, aku teringat zaman aku bersusah untuk menggapai Sijil Pelajaran Malaysia. Tatkala memegang slip itu, aku lega. Namun hembusan kelegaan aku merupakan satu detik permulaan yang baru untuk perjalanan yang masih lagi panjang. Iaitu, perjalanan kehidupan.

Selang minggu disini aku disibukan dengan ujian kecil. Keputusan ujian itu pelbagai. Namun aku puas atas usaha aku yang tidak seberapa.

Bukan markah yang mengukur sesuatu, namun kepuasan atas sesuatu itu adalah ukuran.

Kepada saudari Lina Chan, dan semua, khusus yang ingin mengambil peperiksaan.
Dalam sesuatu peperiksaan, ujian mahupun kerja, letakan sebab apa anda melakukan sesuatu itu. Untuk apa sebab yang anda letak sekarang, mari kita berfikir sejenak agar kita jelas dengan apa yang anda lakukan.

Untuk apa anda buat, letakkan diri anda dahulu. Setujukah jika saya cakap, anda hanya lebih ikhlas jika buat sesuatu itu untuk anda? Sebenarnya, salah satu lumrah manusia adalah membuat sesuatu atau memberi sesuatu untuk dapat sesuatu balik. Diri sendiri menjadi pertaruhan; dimana hasil dari usaha yang anda curahkan samada besar atau kecil, impaknya adalah kepada diri anda. Lihat dari aspek kehendak diri. Lihat dari aspek apa yang hendak dicapai.
Apa yang diberi, itulah yang dikehendaki balik diri kita.

Untuk apa anda buat, letakkan ibu dan bapa seterusnya. Untuk keberkatan hidup, dunia mahupun akhirat. Cara termudah untuk bahagia adalah dengan menyenangkan kedua ibu dan bapa. Berusahalah untuk senyuman yang tidak ternilai terukir di wajah ibu dan bapa. Ia juga merupakan salah satu ubat untuk kepenatan mereka mencari pendapatan untuk keluarga. Bagi ibu, kebahagiaan yang diberikan oleh anak menyebabkan mereka lupa tentang sakitnya jemputan maut tika melahirkan anak.
Apa yang hendak dicapai, pastikan ia mampu digapai.

Untuk itu, setiap apa yang anda laku dan usahakan, anda akan berpuas hati.

Untuk Lina Chan,
Nasihat dari saya untuk anda sebelum SPM,
  1. Fikir kehendak diri. Dalam masa terdekat apa yang anda hendak jadi, apa cita-cita anda. Anda tidak perlu kejar untuk mendapat semua A. Benar, jika mendapat semua A anda akan senang mendapatkan tawaran ke Universiti dan diberikan banyak pilihan. Namun, pastikan apa yang kita hendak bersesuaian dengan cita-cita.
  2. Fikir kehendak ibu dan bapa. Lina, semua ibu bapa hendak yang terbaik. Namun mereka tidak memaksa anak mereka untuk menyeksa diri mendapat sesuatu yang belum lagi pasti tergapai. Mereka sudah berpuas hati jika melihat anak mereka berusaha, walaupun ia hanyalah sekecil-kecil usaha.
  3. Jangan peduli kehendak orang lain. Bukan semua tahu apa yang terbaik untuk diri kita, Namun kita perlu mendengar nasihat mereka, tetapi setiap keputusan yang kita buat mestilah berdasarkan kehendak diri kita.
  4. Usaha jangan putus, Jangan mengalah walaupun jatuh sekejap, teruskan mendaki. Tawakal.
  5. SPM, cuma permulaan, perjalan hidup yang masih panjang. Jangan anggap SPM segalanya dan anda harus bermatian untuk ia. Tidak~!. Ia cuma sekecil langkah permulaan.
  6. Jangan kecewa dengan keputusan. Berpuas hati dengan usaha.

Buat Lina Chan - Terima Kasih | Satu penghargaan yang bermakna untuk saya.
Root for education is bitter, but the fruits are sweet. Still though, life is an educational journey.

p1

Penting diri?

Pentingkan diri, satu sifat yang diskeptikalkan.

Pernahkan anda mendalami maksud dan makna disebalik dua patah perkataan itu; PENTING DIRI? Ada berpendapat, penting diri merupakan salah satu sifat negatif yang tidak patut diamalkan kerana apabila mementingkan diri, manusia sering kali melupakan orang disekeliling. Yang dimaksudkan dengan orang sekeliling adalah keluarga dan kawan. Ada juga berpendapat bahawa penting diri adalah salah satu sifat dimana orang itu melakukan setiap perkara berdasarkan kelebihan dan keutamaan hanya untuk kepentingan.

Contoh yang biasa. Anda seorang ketua yang pentingkan diri jika anda mengutamakan kroni. Anda seorang pelajar yang pentingkan diri jika hanya anda yang mahu berada diatas sambil membiarkan pelajar lain di takuk lama. Anda seorang kawan yang pentingkan diri jika meninggalkan kawan di belakang.

Ramai tersilap mendefinisikan penting diri. Apa yang dilihat sebagai penting diri sebenarnya sifat sombong. Fikir sekali lagi, apa itu penting diri. Fikir sekali lagi, apa itu sombong. Nampak apa bezanya?

Penting diri, dari sudut subjektif, adalah satu cara diri kita mengadaptasikan minda dan fizikal kita dalam persekitaran yang begitu kompetitif. Kita sebenarnya berada dalam masyarakat yang disesuaikan dengan tiga taraf sosial. Dimana sahaja kita dikelompokan, diri kita berusaha untuk berada di kelompok teratas. Jika kita sudah berada diatas, kita akan cuba untuk kekal disitu. Untuk menjadi kelompok diatas itu, kita menjadi penting diri.

Apabila kita hidup dalam persekitaran yang rapuh. Ia adalah cara terbaik untuk hidup.


Perkara yang perlu diutamakan dalam mementingkan sesuatu untuk diri adalah pencapaian dan kejayaan. Tidak kiralah anda seorang pelajar mahupun perkerja, yang dinilai tetap pencapaian. Bagitahu pada diri anda, siapa yang akan ambil berat pasal anda ? Siapa yang akan ambil tahu pasal keselesaan keluarga anda? Bukankah anda dan keluarga yang hanya ambil kisah pasal anda. Begitu juga orang lain mereka perlu fikir tentang mereka, baru mereka akan kusutkan mereka untuk orang lain.

Hanya anda yang fikir pasal diri anda, keluarga lebih daripada orang lain.
Anda hanya melakukan yang terbaik untuk diri. Untuk menjadi teratas. Namun diatas, bukan lagi tempat untuk mendongak. Disaat itulah, anda perlu menghulurkan tangan untuk yang lain.

Penting diri bagus. Namun ia lebih bagus jika ditoleransikan dengan kerjasama. Sekarang nampak, penting diri dan sombong. Sekarang tahu siapa yang peduli.

(Nota ringkas:post mungkin tergantung kerana post ini merupakan subjektif, meluas. Apa yang tertulis hanyalah pada hujung pena)

p1

Hak Engkau

Malam yang indah bersama KUMOSC.

Malam musim sejuk yang amat menyejukan, sehinggakan menusuk ke tulang ditempuhi oleh aku dan kawan-kawan. Hanya untuk beramah mesra, menjalinkan hubungan dan mengeratkan silaturahim dengan senior dan rakan-rakan yang berada dalam KUMOSC. Syukur, semuanya berjalan dengan lancar.

Dalam majlis itu, seorang pemuda mengeluarkan buah pemikiran yang bernas, yang berbenihkan 'hak manusia'.

Sememangnya, kita hidup penuh dengan kekosongan yang perlu diisi. Itulah asas kepada hak kita sebagai seorang manusia, yang memerlukan keperluan asas demi menjalani hidup yang selesa. Pakaian, pendidikan, makanan serta tempat tinggal. Begitu juga dengan pengisian kepada hati yang kosong dengan asas kerohanian.

Antara hak yang paling penting bagi kita adalah privasi. Ada hal tentang diri kita, dimana kita hanya memerlukan untuk diri kita. Seperti aku, hidup aku adalah privasi aku dimana aku ingin mengekalkanya sedikit tersendiri daripada pengetahuan orang. Itu adalah kerana ia hak aku untuk mempunyai ciri tersendiri.

"kawan, seorang yang menjaga maruah kawan nya, bukan membawa buah mulut untuk mengaibkan nya"- untuk teman.

Namun begitu, kita tidak sedar yang diri kita sibuk menganggu hak orang?

p1

Ketenangan Yang Tercebis

I'm proud that I'm MALAYSIAN
Saya anak MALAYSIA

Ketenangan di MALAYSIA, amatlah dirindui. Pantai nya yang berombak mengulik pasir di pantai. Sungai nya terkandung khazanah maritim. Hutannya menyimpan satu rahsia. Tetapi, kerinduan itu amatlah susah terubat. Terutama bila diri ini dinaungi oleh langit Moscow.

Amat menyedihkan, ketenangan di Malaysia tidak dapat ditandingi. Sayu hati melihat bumi Moscow kembali merah. Kemarahan bumiputera Russia telah membara, hanya dicetus, sekali lagi dengan api perkauman, bara agama.



Hati ini bimbang, apabila isu agama di timbulkan lagi. Sengketa agama yang baru sahaja hendak lerai, kini semakin marak malah semakin panas. 11 Disember 2010, Kremlin-Pusat Pemerintahan Persekutuan Russia, digegarkan dengan rusuhan.

Ekoran kematian seorang bumiputera Russia yang dibunuh oleh bangsa minoriti yang disebabkan bergaduh kerana perlawanan bola. Seluruh Muslim Russia menjadi kambing hitam.

Aku melihat alam meliputi ini, baru ku sedar, nikmatnya kehidupan aku yang bergelar seorang Malaysia. Rakan ku dari bangsa lain juga sedar yang mereka bertuah. Di Malaysia, bumiputera dan bukan bumiputera, Islam dan bukan Islam, masih lagi aman, bersatu dan berganding bahu. Masih bersama lagi menghayati lagu-lagu kedamaian, siul-siulan keamanan.

Hanya satu ku berdoa tika ini, moga MALAYSIA kekal aman, moga api perkauman terpadam, moga kemerdakaan yang sudah lama terbenteng, tidak akan dicemari dengan bisikan kehancuran.


Didedikasikan untuk Malam Aspirasi Muzikal Moscow 2010 - Malam Amal

p1