Meniti usia, tidak sangka 20 tahun sudah aku mengembara dalam kehidupan dunia. Sekarang telah bergelar anak muda. Ya aku si pemuda."Ingin melihat nasib sesuatu negara, lihatlah pada generasi anak muda"

Merenung diri sendiri sahaja telah pun bimbang akan nasib masa depan negara dan agama ku. Lihat sahaja di dada akhbar, akan ada berita tentang keruntuhan pemuda-pemudi Islam. Yang berpeleseran malamnya, bahkan yang memenuhi pusat serenti adalah Muslim yang tiada muslimnya.

Bukan ingin mengaibkan namun melihat pekung yang ada. Aku pun merasakan begitu. Tatkala usia dah pun dewasa begini, namun aku sendiri tidak pasti Islamkah, atau islam nya hidup aku.Sejenak merentasi masa, melihat kembali di awal kebangkitan islam. Siapa sangka, tunjang kepada islam tatkala itu, adalah generasi muda. Merekalah segala-galanya dalam perjuangan. Mereka lah pembantu agama Allah swt.

Dikatakan, berusia 13 tahun ketika wafatnya Rasulullah saw, telah disandarkan kepada beliau penterjemah al-Quran. Itulah Abdullah ibn Abbas. Memiliki pemahaman akan islam yang begitu mendalam.

Tidak tercabar pula diriku akan keberanian seorang panglima perang, yang pertahankan agama melawan Rom yang dirinya pada masa itu baru sahaja berumur 17 tahun. Berani dan masih muda, Usamah ibn Zaid ibn Harithah.

Siapa sangka, ditugaskan Rasulullah saw ke Madinah untuk menyebarkan islam. Mus'ab ibn Umair, berusia 24 tahun, mendokong usaha dakwah bagi menyampaikan kebenaran. Tugas yang bukan calang-calang orang boleh bawa. 

Merekalah jiwa-jiwa yang hebat.

Mebandingkan mereka dengan diriku, tidak terkira perbedaannya. Ibarat langit dan bumi. Tatkala Abdullah ibn Abbas telah mahir dengan al-Quran, aku baru sahaja berjinak dengan alam sekolah menengah. Tatkala Usamah ibn Zaid ibn Harithah pergi berperang mempertahankan islam, aku sedang sibuk dengan urusan SPM, yang hanya berperang di atas kertas. Tidak sanggup untuk aku bandingkan dengan Mus'ab ibn Umair, yang sudah tentu murabbi yang berjaya. Aku pula, masih lagi bertatih dalam mencari dan mengenal islam.

Aku terfikir, apakah mereka berada pada zaman Rasulullah saw mereka menjadi seorang yang hebat?Tersentap aku, apabila mendengar kisah Muhammad Al-Fetih. Siapa dia? Dia bukanlah seseorang yang berada pada zaman Rasulullah saw. Dia juga bukanlah seseorang yang berada pada zaman para sahabat. Bahkan perbezaan jarak waktu dia dan zaman mereka amat lah jauh.

Namun, dia adalah sebaik-baik pemimpin yang memimpin sebaik-baik tentera.

Dia lah antara orang-orang yang berbahagia.

Sabda Rasulullah saw,"Berbahagialah siapa yang melihatku dan beriman dengan ku" Kemudian nabi sebut sebanyak tiga kali,"Bahagialah, bahagialah bahagialah, mereka yang tidak dapat melihatku namun beriman dengan ku"Hadis riwayat Ahmad.

Lihat lah Muhammad Al-Fetih,Siapa sangka dia adalah pemerintah yang muda. Mengambil alih pemerintahan tatkala umurnya 19 tahun. Dialah juga, usia baru mencapai 21 tahun, telah berjaya menawan bandar Kostantinopel (istanbul). Dia adalah seorang pemuda yang sejak akil baligh tidak meninggalkan solat tahajjud, solat sunat rawatib.

MasyaAllah. Hebat!! Mereka adalah pemuda yang sebenar.

Aku amati mereka, aku teliti pemuda islam yang hebat ini.

Mereka adalah pemuda yang mempunyai wawasan hasanah. Mereka lah yang bekerja keras untuk berjumpa dengan Allah. Mereka bekerja untuk mendapatkan kebaikan dunia yang memberi kebaikan akhirat.

وَمِنْهُم مَّن يَقُولُ رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ
Dan di antara mereka pula ada yang (berdoa dengan) berkata: "Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka".
2:201


Mereka meletakkan matlamat utama mereka adalah keredhaan Allah swt. Ekoran itu, perjuangan mereka dilandaskan atas fisabilillah. Sesungguhnya, mereka adalah sebenarnya golongan yang mendapat hikmah.

يُؤْتِي الْحِكْمَةَ مَن يَشَاءُ ۚ وَمَن يُؤْتَ الْحِكْمَةَ فَقَدْ أُوتِيَ خَيْرًا كَثِيرًا ۗ وَمَا يَذَّكَّرُ إِلَّا أُولُو الْأَلْبَابِ
Allah memberikan Hikmat kebijaksanaan (ilmu yang berguna) kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan yang ditentukanNya). Dan sesiapa yang diberikan hikmat itu maka sesungguhnya ia telah diberikan kebaikan yang banyak. Dan tiadalah yang dapat mengambil pengajaran (dan peringatan) melainkan orang-orang yang menggunakan akal fikirannya.
2:261

Apa itu hikmah?
Menurut Imam Malik, hikmah itu adalah sunnah. Mengiku Abdullah ibn Abbas, hikmah itu adalah al-Quran.

Aku melihat mereka berjihad, dengan jihad yang sebenar. Jihad bukan semata-mata untuk membunuh atau dibunuh. Bukanlah pula jihad yang semata-mata untuk mati syahid. Namun mereka berjihad kerana ingin menyampaikan kebenaran, mengajak kepada ma'ruf dan nahi mungkar.

Merekalah golongan yang memililh untuk bermula dengan islam, ditunjangi al-Quran dan didokong oleh as-sunnah.

Aku membisik pada diri," aku, bila lagi?"
 Ya Allah, hambaMu memohon untuk menjadi  pemudaMu. 

C.S

Leave a Reply